BeritaInfo Semasa - Perang & BencanaPrepping

Bekalan Elektrik Global Berkurangan Beberapa Negara Mula Catuan

Bekalan Elektrik Global Berkurangan Beberapa Negara Mula Catuan
Bekalan Elektrik Global Berkurangan Beberapa Negara Mula Catuan

BEIRUT: Beberapa negara di seluruh dunia kini berdepan dengan krisis tenaga elektrik yang semakin meruncing dan dikhuatiri akan semakin buruk.

Sebahagian wilayah di China sudah mula mencatu penggunaan elektrik manakala banyak negara Eropah terpaksa membayar harga tinggi bagi mendapatkan bekalan bahan bakar dan terbaru, seluruh Lubnan terputus bekalan elektrik.

India turut terkesan dengan krisis sama apabila bekalan arang batu di negara itu didakwa semakin susut dan di Amerika Syarikat (AS), harga petrol meningkat sehingga AS$3.25 (RM13.60) berbanding AS$1.27 (RM5.30) pada April lalu.

Ketika ekonomi global dalam fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19, krisis tenaga yang berlaku secara tiba-tiba memberi tekanan terhadap rangkaian bekalan dan mencetuskan ketegangan geopolitik.

Pemimpin dunia ketika ini bersiap sedia untuk menyertai Mesyuarat Ke-26 Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau COP26 dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim dan pemanasan global.

Krisis itu didakwa berlaku kerana pelbagai faktor, terutama ketika fasa pemulihan ekonomi apabila banyak negara mengeluarkan perbelanjaan minimum untuk mendapatkan bekalan bahan bakar sejak 18 bulan terakhir.

Selain itu, musim sejuk luar biasa di Eropah juga menyebabkan rizab tenaga benua itu berkurangan, termasuk akibat beberapa siri taufan yang melanda sehingga menyaksikan telaga minyak di negara Teluk ditutup.

Fenomena itu turut memburukkan hubungan antara China dan Australia, selain kekurangan kapasiti angin di laut turut menyumbang kepada krisis tenaga yang berlaku ketika ini.

Kerajaan beberapa negara kini berusaha menyediakan subsidi untuk mengelakkan reaksi politik yang luar biasa dalam kalangan rakyat masing-masing.

Di Lubnan baru-baru ini, bekalan elektrik hanya berjaya dipulihkan selepas 24 jam terputus kerana dua stesen jana kuasa utama berhenti operasi berikutan kekurangan bekalan bahan bakar.

Kementerian Tenaga Lubnan memaklumkan, bank pusat meluluskan kredit berjumlah AS$100 juta (RM418 juta) untuk membeli bahan bakar dan memastikan dua stesen jana kuasa berkenaan terus beroperasi.

Kerajaan Lubnan, yang berdepan krisis ekonomi dan kekurangan bekalan bahan bakar kritikal sejak 18 bulan lalu, sebelum ini memaklumkan bekalan elektrik mungkin terputus selama beberapa hari.

Data kerajaan India pula menunjukkan separuh daripada 135 loji kuasa yang dijana arang batu mempunyai jumlah bekalan bahan bakar untuk kurang tiga hari.

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal, menggesa Perdana Menteri, Narendra Modi, mendapatkan lebih banyak bekalan arang batu dan gas bagi mengelakkan bandar itu terputus bekalan elektrik.

China juga tidak terkecuali, di mana beberapa bandar utama terpaksa mencatu bekalan elektrik selain banyak kilang terpaksa ditutup ekoran masalah sama.

Krisis itu dikatakan berlaku susulan harga arang batu meningkat mendadak selepas ekonomi China dibuka semula akibat pandemik COVID-19.

Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di wilayah Guangdong, Heilongjiang, Jilin dan Liaoning.

Banyak peniaga terpaksa menggunakan lilin untuk menerangi premis perniagaan mereka, selain talian komunikasi turut terjejas. – AGENSI

Bekalan Elektrik Global Berkurangan Beberapa Negara Mula Catuan.

Source
BH

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button